Wednesday 5 September 2012

Tahlil dan Talkin

MUKADIMAH

PERBINCANGAN mengenai mazhab di negara ini sentiasa mendapat perhatian masyarakat. Sebarang cubaan memperkenal atau memperbetulkan perkara yang sejak turun-temurun diamalkan mempunyai risiko yang besar.
Begitulah yang berlaku kepada Perlis. Sebuah negeri paling kecil di Semenanjung Malaysia tetapi sering mendahului dalam segi membuat tajdid (pembaharuan) terutama dalam bab munakahat.
Ini bukanlah sesuatu yang asing memandangkan kedudukannya sebagai negeri paling hujung di utara semenanjung menjadikan ia persinggahan kepada pasangan yang mahu bernikah di sempadan Thailand. Ini menyebabkan Perlis meminda beberapa enakmen syariah bagi memudahkan pasangan berkahwin di negeri ini untuk membendung pernikahan di negara jiran.

Dalam masa yang sama, Perlis juga unik kerana tidak mempraktikkan beberapa amalan yang sudah sebati dengan masyarakat bermazhab Syafii di kebanyakan negeri. Antaranya, tidak membaca bismillah secara jahar (kuat) pada al-fatihah, tidak membaca qunut pada solat subuh, tidak ada tahlil dan talkin. Perbezaan ini menyebabkan ada pihak menuduh Perlis mengamalkan fahaman wahhabi.

MINGGUAN: Tuduhan yang acapkali kedengaran ialah Perlis mengamalkan fahaman wahhabi. Adakah ia berasas Datuk Seri? 

SHAHIDAN: Pasal Wahhabi ini, ia hanya diuar-uarkan oleh dua pihak. Kami di Perlis tidak tahu-menahu bahawa kami wahhabi. Yang kami tahu kami Ahli Sunah waljamaah dari segi akidahnya dan dalam fikah kami tidak terikat dengan hanya satu mazhab.
Dalam erti kata lain, kami bersifat terbuka mengambil manfaat ilmu daripada semua tokoh Ahli Sunah waljamaah tanpa taksub kepada satu-satu mazhab. Kami hormati kesarjanaan dan keilmuan semua tokoh ulama. Ini yang dituntut dalam Islam
Oleh itu, saya ingin bertanya apakah fahaman wahhabi itu? Adakah ia sesat dan terkeluar daripada Ahli Sunah waljamaah?
Masyarakat Islam di Malaysia jangan jumud, cubalah berfikiran terbuka. Wahhabi ini diasaskan oleh Imam Muhammad Abdul wahab at-Tamimi (1703-1791M) yang lahir di Uyaynah, utara Riyadh, Arab Saudi.

Beliau adalah ulama yang berpegang kepada aliran Imam Ahmad Ibn Hanbal iaitu salah satu mazhab yang diiktiraf di bawah Ahli Sunah waljamaah. Gerakan ini adalah gerakan jihad untuk membersih dan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan hadis. Sebabnya pada masa itu, umat Islam di situ banyak melakukan pencemaran akidah dan penyelewengan amalan keislaman serta percaya kepada perkara khurafat dan melakukan amalan bidaah.
Perlis adalah negeri yang berpegang kepada al-Quran dan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Apa yang cuba kita buat ialah membersihkan segala amalan yang bidaah (melakukan perkara baru dalam agama yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan para tabiin).
Bagi kita di Perlis, hatta dalam ibadat pun tidak ada bidaah hasanah (baik).

MINGGUAN: Ada juga tuduhan mengatakan Datuk Seri juga adalah wahhabi? 

SHAHIDAN: Saya ingin menjelaskan bahawa saya sebagai pemimpin kecil di Perlis, dan negeri ini adalah pengikut Imam Syafii yang tulen, bukan wahhabi. Saya menjadikan buku Manhaj ć…‰qidah tulisan Imam as-Syafii sebagai rujukan. 
Malah, Perlembagaan Negeri Perlis juga menetapkan bahawa Duli Yang Mulia Raja, Menteri Besar, Penasihat Undang-undang, ahli exco, mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Hakim Syarie dan Pengarah Jabatan Agama berpegang kepada pegangan Ahli Sunah waljamaah. Selepas ini, saya nak perluaskan skopnya kepada semua Jawatankuasa Bahagian UMNO Perlis. 
Perlis ialah negeri Sunah waljamaah. Rujukan kami adalah sumber asli imam-imam Ahli Sunah, al-Quran dan al-hadis. Itulah jalan nabi dan para sahabat.

MINGGUAN: Tetapi kenapa di Perlis tidak ada amalan membaca Yasin setiap malam Jumaat, tidak ada talkin, tidak ada tahlil arwah dan tidak ada qunut semasa solat subuh? 

SHAHIDAN: Sebabnya Rasulullah tidak berbuat demikian. Kalau nak baca Yasin bacalah tetapi kenapa dikhususkan malam Jumaat sahaja. Talkin yang diajar oleh Nabi Muhammad ialah talkin sebelum mati iaitu ketika orang itu sedang nazak.
Tahlil arwah pula adakah kita pasti bahawa semua yang hadir itu bacaan fatihahnya betul. Jika bacaannya salah tidakkah mereka menyedekahkan dosa kepada arwah yang berkenaan?
Demikian juga amalan berdoa beramai-ramai selepas solat. Ini tidak dilakukan oleh baginda s.a.w. Bukan maksudnya tidak boleh berdoa tetapi buatlah secara bersendirian. Lagipun dikhuatiri doa oleh imam yang dibaca secara jahar (kuat) itu boleh mengganggu jemaah lain yang masih solat. Bukankah itu lebih besar dosanya berbanding manfaat membaca doa beramai-ramai?

Islam tidak meletakkan wakil untuk kita berdoa kepada Allah sebagaimana beberapa agama lain. Setiap daripada kita disuruh memohon kepada Allah sebagaimana maksud firman-Nya, berdoalah nescaya aku perkenankan. 
Bagaimanapun, tidak pula salah jika orang itu seorang alim lagi warak. Bolehlah kita minta pertolongannya untuk sama-sama berdoa dengan kita. 
Masalah utama dalam masyarakat kita ialah budaya tokok tambah. Inilah yang berlaku selepas zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang membina Kaabah. Hasil tokok tambah selepas peninggalan baginda berdua, akhirnya di kiri dan kanan Kaabah dipenuhi dengan berhala yang besar-besar. 

Malah dalam ibadat tawaf pun telah ditokok tambah iaitu bertawaf secara berbogel iaitu lelaki waktu siang dan wanita waktu malam. Tokok tambah beginilah yang merosakkan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Sebab itu kita mempertahankan yang asli. Barangan asli sepatutnya menjadi pilihan utama setiap orang. Maka kita dalam solat dan ibadat khusus yang lain sentiasa mempelajarinya secara berdalil, bukan sekadar ikut-ikutan.

MINGGUAN: Tetapi bukankah ada hadis yang menyebut ulama itu adalah pewaris Nabi (riwayat Abu Daud). Jadi sudah tentu, apa yang dilakukan oleh ulama boleh diamalkan oleh masyarakat? 

SHAHIDAN: Kita kena tengok dulu apa jenisnya ulama itu. Kalau ulama suuk (jahat) takkan kita nak ikut mereka. Adakah kita mahu mengikut Ayatollah Khomeini iaitu ulama Syiah atau yang memalsukan hadis seperti Abdullah bin Sabak?
Kalau ulama itu sentiasa bercakap baik dan sentiasa mematuhi perintah Allah dan rasul-Nya, maka barulah boleh kita mengikut mereka dan wajar diberi gelaran ulama pewaris nabi. 
Ulama pewaris nabi ialah ulama yang mengikut Rasulullah. Jika mereka mengubah ajaran baginda, mereka tidak layak digelar pewaris.Jika ulama ingin mewarisi nabi mereka mesti benar-benar mengambil apa yang diwarisi oleh baginda bukan mengada-adakan yang baru.

MINGGUAN: Kepada pihak yang terus-menerus menuduh Perlis mengamalkan wahhabi, apa nasihat Datuk Seri? 

SHAHIDAN: Kepada golongan tersebut, saya dengan rendah diri menjemput mereka bermuzakarah bagi mencari penyelesaian dalam isu ini. Perlis tidak pernah bimbang untuk bermuzakarah dengan sesiapa pun dalam bab agama.
Kalau ada undang-undang Perlis yang dikatakan menyeleweng dari al-Quran dan sunah, tunjukkan kepada saya supaya saya boleh membuangnya serta-merta. Tetapi kalau ada amalan salah yang diguna pakai di tempat lain, saya ingin betulkan. 
Cuma kalau amalan kita yang dikatakan wahhabi itu betul mengikut Ahli Sunah tidak mengapalah. Jangan semuanya dicerca.
Keilmuan di Perlis terbuka sesuai dengan prinsip negeri ini. Kita mementingkan dalil. Dalam Majlis Fatwa Negeri pun cuma ada tiga orang Perlis, Mufti Perlis sendiri adalah orang Pulau Pinang. Yang lainnya dianggotai oleh ulama dari seluruh negara.
Bagi saya orang yang ada ilmu yang digelar ulama jangan jumud dan cengih. Malah, saya juga bercadang membawa para mufti negeri lain ke Iran supaya mereka boleh melihat beberapa persamaan amalan masyarakat negeri lain dengan golongan syiah di sana. 
Jangan pula kita mengguna pakai hadis-hadis secara sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada perawi dan martabat hadis berkenaan.
Adalah cukup malang apabila ada yang menggunakan hadis tentang anak yang menziarahi kubur ibu bapa pada hari Jumaat dan membaca Yasin akan terhapuslah dosa ibu bapa tersebut dalam penulisan menerusi akhbar. Hadis ini bukan hadis daif tetapi palsu. Sepatutnya ia tidak boleh dipakai langsung sebagai hujah kepada mana-mana ibadat. 

MINGGUAN: Adakah ini bermakna menziarahi kubur juga dilarang? 

SHAHIDAN: Perlis menggalakkan orang menziarahi kubur. Tetapi mesti menurut adab yang diajar olah baginda. Perlis tidak membaca al-Quran atas kubur sebaliknya kita menyuruh berdoa dengan ikhlas. Sebabnya, Rasulullah ada bersabda, Janganlah engkau menjadikan rumah-rumah kamu seperti kubur kerana tidak dibacakan al-Quran. 
Maksudnya, Rasulullah melarang kita membaca al-Quran di kubur. Apa yang patut dibuat oleh waris terutama anak-anak di situ ialah berdoa. 


MINGGUAN:Terdapat juga cakap-cakap mengatakan Perlis menuduh mereka yang mengamalkan tahlil, talkin dan menyambut peristiwa besar seperti Maulidur Rasul sebagai bidaah. Apa komen Datuk Seri? 

SHAHIDAN: Kita tidak pernah melemparkan kata-kata sedemikian. Perlis tidak kata pun perbuatan tersebut bidaah secara membabi buta. 
Sebaliknya kita menjelaskan pandangan secara ilmiah. Kita tidak menghukum pembuat, sebaliknya hanya mempertikaikan amalan.
Tak bolehlah semua yang kurang baik itu dituduh Perlis memulakannya. Dalam masa yang sama, kita lupa ada pihak tertentu menuduh Perlis yang bukan-bukan. Mengapa mereka tidak dipertikaikan?
revolusi_30 posted on 13-10-2009 02:32 PM

Golongan mualaf juga ramai yang memilih Perlis untuk mengucap dua kalimah syahadah. Antara lain sebabnya, kita benarkan mereka mengekalkan nama asal selepas memeluk Islam. Selain itu, kita juga permudahkan urusan memeluk Islam tidak perlu goncang-goncang tangan semasa mengucap. 
Sepatutnya, negeri-negeri lain menyokong usaha dakwah oleh para pendakwah Perlis yang kadang- kadang berceramah di luar Perlis. Ini tidak, sebaliknya ada arahan oleh negeri tertentu supaya tidak dibenarkan pendakwah dari negeri ini berceramah di tempat mereka.
Jadi, apakah pendekatan yang akan diambil oleh Perlis dalam menjayakan misi ini? 

SHAHIDAN: Kita akan mengamalkan pendekatan yang lemah-lembut dan berkasih sayang sesama manusia (hablum minannas). Ini memerlukan kepada penglibatan golongan ulil-amri atau pemerintah untuk merealisasikannya.
Pada masa yang sama kita ingin membangkitkan semangat jihad di kalangan umat Islam. Lihatlah semangat yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab yang masih memimpin tentera berperang pada usia 76 tahun. 

Jangan Lihat Tokoh..Lihat Isinya OK...:shutup:

No comments:

Post a Comment