Thursday 30 August 2012

5 SEBAB TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN JIN


1 ) MENDATANGKAN KEMUDARATAN

Kepercayaan menggunakan  jin dan syaitan akan memberikan mudarat dan akan memesongkan akidah umat Islam . Antara contoh penggunaan jin yang mendatangkan kemudaratan ialah penggunaan tangkal, menggunakan bomoh, menghantar sihir atau santau, dan banyak lagi. Perkara-perkara inilah yang  akan memesongkan akidah umat Islam dan akan menjadikan manusia sesat, jika amalan-amalan sihir dan kurafat ini tidak dibendung dan dihapuskan. Allah swt juga mengingatkan manusia bagi mereka yang meminta pertolongan jin seperti mana Firman Allah SWT dalam surah Aj-jin ayat 6 ,

“Sesungguhnya ada beberapa orang laki-laki dari kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada laki-laki dari jin, tetapi mereka (jin) menjadikan mereka (manusia) bertambah sesat. (Aj-Jin 6)
Lebih menakutkan lagi ialah apabila Allah swt memberi amaran, azab neraka yang bakal menimpa seperti FirmanNya.

“ Dan ingatlah pada hari ketika Dia mengumpulkan mereka semua (dan Allah berfirman) “Wahai golongan jin ! Kamu telah banyak menyesatkan manusia.” Dan kawan-kawan mereka dari golongan manusia berkata ,” Ya Tuhan, kami telah saling mendapat kesenangan dan sekarang waktu yang telah Engkau tentukan buat kami telah datang. Allah berfirman “ Nerakalah tempat kamu selamanya ,kecuali jika Allah mengkehendaki yang lain, Sungguh Tuhanmu Maha Bijaksana Maha Mengetahui. (Al-An’am 128).
           
2 )  NABI MUHAMMAD S.A.W DAN PARA SAHABAT TIDAK PERNAH MEMINTA PERTOLONGAN JIN.

Dalam sirah Nabi Muhammad saw.  Dan para sahabat baginda, tidak ada satu riwayat pun yang menunjukkan, Nabi Muhammad saw. Pernah meminta pertolongan jin. Apatah lagi menggunakan jin bagi tujuan rawatan mahupun kehidupan seharian sebagai manusia biasa.

3) MELIHAT DAN MENGUASAI JIN MUKJIZAT KHUSUS PARA NABI  DAN RASUL

Manusia biasa tidak mungkin boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya maffhumNya :
 “Allah tidak memperlihatkan kepadamu hal-hal  ghaib , tetapi Allah memilih siapa yang Dia kehendaki di antara Rasul-rasulNya. (Ali Imran 179)
“Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari  satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka.” (Al A’raf 27)
“Dan kunci-kunci semua yang ghaib ada padaNya, tidak ada yang mengetahui selain Dia. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut.” (Al An’am 59)

4 ) TIPU DAYA JIN SANGAT LICIK

Makhluk jin, makhluk yang penuh tipu daya dan helah. Jin-jin yang menjadi pengikut syaitan akan menggunakan pelbagai cara, sama ada halusatau kasar bagi tujuan menyesatkan manusia. Firman Allah dalam surah Al A’raf
“Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”. (Al-A’raf 15-17).

Menurut Ibn Qayyim : "Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya". 

Kisah dari Abu Hurairah r.a yang telah ditugaskan oleh Rasulullah SAW  untuk menjaga stor yang menempatkan kurma zakat. Stor tersebut telah dicerobohi oleh makhluk jin selama tiga hari berturut-turut. Setiap kali ditangkap, jin tersebut mencipta pelbagai helah dan memberikan pelbagai janji palsu. Akhirnya apabila ditangkap kali ketiga, jin tersebut meloloskan diri setelah mengajarkan Abu Hurairah satu aya yang dapat menghalangnya dari memasuki stor tersebut. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari , hadith no 2311)

Berdasarkan hadith di atas ,ini menunjukkan makhluk jin dan syaitan mempunyai seribu helah dan tipu daya yang licik yang seringkali memperbodohkan manusia. Ia selalunya menampilkan perkara-perkara ajaib seperti lokasi barang hilang, scan penyakit, bercakap dengan jin dan membongkar isi hati pesakit.

5) BERSAHABAT DENGAN JIN ADALAH EVOLUSI MENURUN.

Penggunaan jin dalam rawatan adalah bentuk fotokopi kepada upacara menurun dalam bentuk moden. Kaedah ini sama dengan kaedah merawat menerusi resapan makhluk tersebut ke dalam tubuh perawat. Syaitan memperkenalkan kaedah terbaru , makhluk tersebut tidak lagi meresap masuk ke dalam tubuh perawat, sebaliknya mengilhamkan melalui bisikan, memperlihatkan yang ghaib serta pelbagai perkara luar biasa. Kedudukan jin menyampaikan maklumat kepada pengamal melalui bisikan atau ilham sama dengan kedudukan syaitan berusaha menyesatkan manusia. Seperti mana firman Allah SWT  dalam surah Al-An’am ayat 112  :

Firman Allah SWT : “ Dan demikianlah untuk setiap nabi Kami jadikan musuh yang terdiri dari syaitan-syaitan manusia dan jin. Sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain yang indah sebagai tipuan. Dan Kalau Tuhanmu mengkehendaki, nescaya mereka tidak akan melakukannya , maka biarkanlah mereka bersama apa (kebohongan ) yang mereka ada-adakan. (Al-An’am 112)

Dan juga Allah SWT Berfirman dalam surah Fathir ayat 6  :
Firman Allah SWT : “Sungguh, syaitan itu musuh bagimu , maka perlakukanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala. (Fathir 6 )

Jelaslah bahawa dari huraian yang telah  dinyatakan diatas, memberi gambaran bahawa jin akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dari segenap penjuru yang ada pada manusia. Bahkan di dalam ayat al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada padanya.

No comments:

Post a Comment